Sultanah Nur Zahirah berkenan rasmi Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas
KUALA LUMPUR – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berkenan berangkat mencemar duli merasmikan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas di ibu negara hari ini.
Telepuk merupakan salah satu teknik menghasilkan motif dan ragam hias secara tradisional pada permukaan tekstil menggunakan perada emas.
Majlis perasmian yang diadakan di Muzium Tekstil Negara tersebut turut disaksikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron berkata, pameran ini memperagakan sebanyak 49 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan empat empat penerbitan berupa manuskrip dan buku.
Katanya, koleksi itu merupakan milik Jabatan Muzium Malaysia, Pergerakan Langkasuka, muzium-muzium negeri, agensi dan orang perseorangan.
“Menariknya pemeran ini turut mempersembahkan koleksi- koleksi telepuk masterpiece milik kerabat diraja untuk tontonan umum seperti koleksi baju sikap, kain setangan dan kain sarung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, pameran ini diadakan bertujuan untuk mengangkat dan mengetengahkan seni telepuk, iaitu salah satu khazanah warisan negara yang mencerminkan citra budaya Malaysia
Jelas beliau, usaha ini bertepatan dengan dasar kementeriannya melalui Program Ini Warisan Kita yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini.
Tambah beliau lagi, memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman, bukan sesuatu yang mudah pada era serba moden ini namun usaha ini tidak mustahil dapat direalisasikan secara kolektif seperti pameran seumpama ini.
“Memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman, bukan sesuatu yang mudah pada era serba moden ini.
“Namun usaha ini tidak mustahil dapat direalisasikan secara kolektif yang melibatkan semua pihak sama ada daripada golongan pemimpin hingga ke rakyat biasa,” katanya.
@malaysiatribune Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, telah berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan pameran ini yang turut disaksikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Pameran eksklusif ini telah dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula pada 28 Oktober sehingga 31 Disember 2024 di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur. #malaysiatribune #muzium #tekstil #telepuk #sultanah #perpaduan
Ujar Aaron lagi, kementeriannya akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’.
Sementara itu, pameran ini juga disemarakkan lagi dengan penganjuran beberapa program dan aktiviti kepada para pengunjung.
Antaranya ialah program perkongsian ilmu seperti program bicara@muzium dan webinar yang diadakan secara hibrid, bengkel dan demonstrasi telepuk.
Turut diadakan pertandingan lukisan seni telepuk, pertandingan produk seni telepuk dan aktiviti mingguan bagi kanak-kanak seperti DIY key-chain telepuk dan mari kenal telepuk.
Aktiviti-aktiviti ini khusus untuk memperkenalkan seni telepuk dan melahirkan artisan baharu yang mampu menghidupkan semula kesenian ini.