Berita SemasaDalam Negeri

Festival budaya Sarawak, kuih-muih tempatan di Muzium Negara

KUALA LUMPUR – Keunikan pelbagai budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak dan kuih-kuih tempatan menjadi tarikan utama pada Festival Anak Sarawak dan Temasya Kuih Malaysia yang berlangsung selama dua hari di pekarangan Muzium Negara bermula hari ini.

Acara yang bermula dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam itu dianjurkan oleh Persatuan Kepimpinan Perintis Anak Sarawak yang merupakan salah satu daripada ‘Friends Of Unity’ di bawah kelola Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Antara aktiviti menarik menanti pengunjung adalah Melodi Irama Sarawak, permainan tradisional, pameran kebudayaan, pameran arca ukir, konsert anak muda yang menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air dan persembahan sape.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis hidangan di reruai yang mengetengahkan jualan makanan tempatan dan Sarawak.

Festival turut dimeriahkan dengan persembahan tarian masyarakat Iban, zumba Sarawak, jualan pasar adat, pakaian bermotifkan Pua Kumbu, kraftangan dan singkap sejarah alatan kuih tradisional.

Pelancaran festival yang dibuka secara percuma itu dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, petang tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; timbalannya, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Kamarul Baharin A. Kasim.

Aaron Ago Dagang menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Festival Anak Sarawak dan Temasya Kuih Malaysia di Muzium Negara, hari ini.

Aaron dalam ucapannya berkata, kekayaan etnik di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu Sarawak, Melanau, Kayan dan lain-lain mencerminkan simbol perpaduan yang luar biasa dan harus dijadikan contoh kepada perpaduan negara.

Justeru beliau mengingatkan usaha memupuk perpaduan negara perlu terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa tanpa mengharapkan ia kekal tanpa usaha.

“Festival ini bukan sahaja menjadi medan untuk kita meraikan keindahan warisan budaya, tetapi juga ruang untuk memperkukuh hubungan antara komuniti dan menyemai nilai-nilai murni yang menjadi tunjang kepada perpaduan.

“Kekayaan etnik di Sarawak telah membuktikan dan mencerminkan satu keunikan luar biasa yang boleh menjadi contoh terbaik bagi masyarakat Malaysia yang hidup harmoni dan makmur,” katanya pada perasmian Festival Anak Sarawak dan Temasya Kuih Malaysia petang ini.

Aaron Ago Dagang melawat reruai jualan kuih-muih di pekarangan Muzium Negara.
Persembahan tarian tradisional masyarakat Iban yang dipamerkan kepada pengunjung.

Katanya, penganjuran festival itu merupakan manifestasi bagaimana budaya boleh menjadi alat penyatuan dan pengukuhan ikatan satu keluarga besar rakyat Malaysia.

“Saya mengambil kesempatan ini, ingin mengingatkan kepada semua agar menjadikan konsep Faham, Hormat dan Terima sebagai kunci kejayaan memperkukuhkan perpaduan antara kaum,” katanya.

Tambah Aaron, sepanjang tahun ini, kementeriannya telah melaksanakan lebih daripada 300 program berimpak tinggi yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button