Dasar lengkap ekonomi kitaran dapat bantu golongan peneroka, pekebun kecil
PUTRAJAYA – Kewujudan satu dasar yang lengkap berkenaan ekonomi kitaran dapat membantu merubah kehidupan golongan peneroka dan pekebun kecil.
Cadangan yang disuarakan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu turut dijangka menjana keuntungan lebih RM100 bilion kepada negara.
“Saya menekankan satu aspek iaitu mengenai perlunya negara ada pelan jangka pendek dan panjang untuk melaksanakan sistem ekonomi kitaran.
“Kita akan memanfaatkan FELDA, FGV, peneroka, pekebun kecil dan sebagainya… barang yang dipanggil sisa, bukan sesuatu yang boleh dibuang, sebaliknya dapat menghasilkan nilai besar untuk negara,” katanya dalam pembentangan hasil libat urus bagi kluster FELDA dan Tanah Wilayah pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, antara bidang yang boleh diberi tumpuan ialah penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan penternakan serangga ‘black soldier fly’ yang berupaya menjadi bahan makanan untuk ternakan seperti ayam.
“Malaysia sudah ada Pelan Tindakan Kebangsaan Biomas, Dasar Agrikomoditi Kebangsaan tetapi kita belum jelas mengenai ekonomi kitaran sedangkan negara lain antaranya Finland sudah ada semua ini,” katanya.
Justeru, jika mahu membantu ekonomi Bumiputera, kerajaan perlu mencari bidang penting di masa depan khususnya dalam ekonomi kitaran.
“Jadi dalam dunia kitar semula, kalau nak membantu Bumiputera ialah dengan membangunkan industri ‘black soldier fly’ sebagai contoh, ini adalah makanan (ternakan) masa depan, bagaimana ia menjadi asas makanan ternakan menggantikan jagung dan kacang soya,” katanya lagi.