JMG tingkatkan pemetaan subpermukaan Lembah Klang elak tanah jerlus
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang memperkasa pemetaan subpermukaan di Lembah Klang bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus seperti insiden di Jalan Masjid India, Ogos lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Projek Pemetaan Geologi Subpermukaan Greater KL (3DKL) yang membabitkan 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.
“Projek itu mampu menyediakan data dan maklumat geologi subpermukaan bagi menguruskan risiko bencana geologi termasuk mendapan tanah dan tanah jerlus.
“Data yang diperoleh turut digunakan untuk merancang pembangunan, khususnya di kawasan bawah tanah,” katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai tindakan susulan JMG selepas insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India selain status laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan di kawasan itu.
Nik Nazmi berkata, susulan insiden itu aktiviti pembangunan yang melibatkan kerja pengepaman air bawah tanah, penggerudian, penerowongan dan perlombongan perlu dikawal bagi mengelakkan gangguan kepada rejim air bawah tanah dan tanah sekitarnya.
“JMG telah menyediakan Laporan Teknikal Sektoral berhubung insiden tersebut. Laporan ini menganalisis data hasil pemetaan subpermukaan menggunakan peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) dan mengesahkan tiada rongga batu kapur di zon yang mengalami deformasi struktur tanah,” katanya lagi.
Menurut Nik Nazmi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan laporan JMG itu untuk menjalankan siasatan terperinci tapak melalui kaedah lubang gerudi dan ujian penentuan keupayaan tanah (Mackintosh Probe Test).
“Langkah itu bertujuan mendapatkan profil subpermukaan yang lebih terperinci, memastikan integriti struktur tanah, dan mengenal pasti tindakan mitigasi yang sesuai,” katanya lagi.
Projek 3DKL diharapkan dapat membantu memperkukuh keselamatan pembangunan di Lembah Klang serta mengurangkan risiko kejadian tanah jerlus pada masa akan datang.