Lantik anak, bekas pengurus besar mengaku tak bersalah salah guna kuasa
MELAKA – Seorang bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menggunakan jawatan dengan memilih anak perempuannya sebagai Penolong Pegawai Sumber Manusia di syarikat berkenaan enam tahun lalu.
Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa terbabit dalam proses temu duga pemilihan jawatan dan melantik anaknya, Nurnadiah ke jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia syarikat, lapor BH Online.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, dekat sini, pada 27 Disember 2018.
Oleh itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Khairul Nizam Abd Kadir dan Zulfahmi Abu Bakar.
Terdahulu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan tiada pendapatan kerana tidak berpencen selain perlu menanggung lima anak termasuk dua masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Mac ini.