Jenayah & Mahkamah

Tiada amalan rasuah, mahkamah kekalkan Radzi Jidin sebagai Ahli Parlimen Putrajaya

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kabinet yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan petisyen pilihan raya terhadapnya yang difailkan oleh seorang pengundi kawasan Parlimen itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faizah Jamaludin membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh Radzi dalam memetik petisyen yang difailkan Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim sebagai cacat kerana tidak mempunyai butiran tertentu berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku dalam pilihan raya.

Faizah berkata, ketidakcukupan dalam pengakuan Ahmad Faisal untuk membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa amalan rasuah dilakukan sama ada oleh responden (Radzi) atau ejennya sudah memadai untuk mahkamah tidak membenarkan petisyen itu.

“Sebagai hakim pilihan raya dan menggunakan kuasa yang diberikan kepada saya, kegagalan pempetisyen untuk mematuhi peraturan mengakibatkan kecacatan bidang kuasa untuk mahkamah ini mendengar petisyen ini dengan lebih lanjut.

“Oleh itu, petisyen ini dibatalkan,” kata Faizah.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi.

Radzi selaku responden bagi petisyen itu diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu, Ahmad Lutfi Awang, Nurul Atiqah Badrul Hisham dan Wan Nur Amira Wan Abdul Manan

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Radzi berdepan saingan enam penjuru, tetapi meraih 16,002 undi, berbanding saingan terdekat daripada Barisan Nasional (13,692 undi); Pakatan Harapan (5,988); Pejuang (878); serta dua calon Bebas masing-masing memperoleh 63 dan 20 undi.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button