Berita Semasa

Fahmi junjung kasih titah Sultan Selangor

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada 9 Februari lalu.

“Patik menjunjung kasih di atas titah nasihat serta pandangan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Semoga titah nasihat Tuanku ini dijadikan panduan serta dituruti semua pihak, tanpa mengira fahaman politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-71 di sini hari ini, bertitah Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri sedang menelititi segala persoalan yang berbangkit.

Jawatankuasa Khas tersebut telah diberi tempoh setahun dari tarikh ianya ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi sebelum diperkenankan.

Dalam pada itu, Fahmi turut meminta semua pihak bertenang dan menghormati proses Jawatankuasa Khas itu dan tidak mendahului proses yang telah diumumkan.

“Usahlah diteruskan polemik tidak sihat dan mengelirukan, demi kemaslahatan masyarakat.

“Kementerian Komunikasi akan memberikan kerjasama penuh serta menuruti titah nasihat dan pandangan Tuanku Sultan Selangor,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button