Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan
KUALA LUMPUR – Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan bagi memantau isu membabitkan Mahkamah Syariah demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Mohd Na’im, penubuhan jawatankuasa
tersebut telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.
Katanya, nama anggota jawatankuasa itu
sudah dipersembahkan dan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 21 Februari ini.
“Nama mereka sudah dipersembahkan, saya tidak boleh nak umum, namun antara ahlinya semua Ketua Hakim Syariah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas dan Surau Bertaraf 5 Bintang peringkat Wilayah Mokhtar di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini hari ini.
Jelas Mohd Na’im, penubuhan jawatankuasa itu bersifat kekal dan akan diletakan di bawah seliaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), manakala Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula dibentuk secara interim.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI, telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri sedang mengkaji segala persoalan yang berbangkit selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 9 Februari lalu.
Jawatankuasa Khas itu telah diberi tempoh setahun dari tarikh ianya ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi sebelum diperkenankan.