Zahid minta pemimpin utama PH nasihat, tegur ahli ‘kacang hantu’
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menegur segilintir ahlinya yang mempertikai keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pimpinan parti itu juga perlu menurunkan hantaran-hantaran yang dimuat naik di media sosial serta memohon maaf atas keterlanjuran perbuatan mereka.
“Saya minta ketua-ketua parti menegur ahli-ahli parti yang berkenaan itu untuk menarik balik kenyataan, memadam tulisan-tulisan mereka dan memohon maaf atas keterlanjuran mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di ibu negara hari ini.
Hari ini, bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman selepas hadir untuk dirakam keterangan susulan kenyataannya yang menyentuh mengenai pengurangan hukuman dan denda Najib Razak.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelbagai pendapat yang dikeluarkan oleh pemimpin politik tersebut tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Ahmad Zahid, kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut juga tidak mewakili parti kerana bukan dikeluarkan oleh ketua parti berkenaan.
Justeru, katanya, beliau menganggap ia sebagai pendapat tidak rasmi daripada parti tersebut.
“Kita meneliti pendapat yang dikeluarkan individu tertentu dalam organisasi itu. Dalam UMNO pun ada kacang hantu yang begitu.
“Tidak ada terkesan namun sebagai satu pakatan parti-parti dalam Kerajaan Madani ini kita perlu menyantuni perbezaan pendapat tetapi kita masih lagi menaruh penuh hormat kepada kepimpinan parti
“Pendapat yang berbeza dikeluarkan itu maka saya juga tidak boleh menghalang daripada membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dibuat oleh individu-individu berkenaan,” katanya lagi.