KDN terajui pengurusan pekerja asing
CYBERJAYA – Pengurusan pekerja asing di Malaysia akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun memberi jaminan kepada majikan, pemain industri dan persatuan pekerja asing bahawa mereka tidak perlu risau dengan perubahan dasar yang dijangka akan bermula pada 15 Jan nanti.
Ini adalah kerana, kata Safuddin, peranan Kementerian Sumber Manusia (KSM) tetap berjalan terutamanya dalam aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber yang akan terus diperkukuhkan.
“Penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola atau governance pengurusan pekerja asing,” kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Bil, di sini hari ini.
Antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut termasuk kedua-dua kementerian bersetuju untuk melonggarkan syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing ke tahap ‘optimum’ bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dan kepentingan keselamatan negara.
“Kelonggaran ini akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan untuk menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan,” katanya.
Saifuddin berkata, perincian terhadap perkara tersebut akan dimaklumkan kepada semua pemegang taruh dari semasa ke semasa kelak.
Sehingga 31 Dis 2022 terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan sektor perkilangan mencatatkan jumlah pekerja asing paling tinggi iaitu (538,148), diikuti sektor pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).
Jumlah itu turut merangkumi 316,446 orang pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun 2022. Tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal.
Tahun lalu kerajaan telah meluluskan sebanyak 676,070 kuota pekerja asing daripada 1,606,724 permohonan.