Berita SemasaPM X

Hadi jaga kata-kata, jangan singgung kedudukan Raja-raja Melayu – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung kedudukan raja-raja Melayu.

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam, yang mengatakan ceramah politik di masjid atau surau bukanlah satu kesalahan, malah diwajibkan bercakap mengenai politik Islam.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, larangan memberikan ceramah berunsurkan politik di masjid tidak wajar untuk dijadikan agenda politik.

Katanya, sekiranya Abdul Hadi tidak bersetuju dengan larangan itu, maka adalah lebih baik beliau menghadap Sultan Melayu.

“Kalau dia tidak setuju dia boleh bawa persembah Tuanku, jangan serang kami kerana saya pun tidak boleh sebagai Perdana Menteri tapi saya menghormati budaya itu.

“Saya mengelak daripada berucap di masjid kerana saya pergi ke masjid setiap jumaat, itu memang diminta oleh jawatan kuasa masjid dan imam untuk menyampaikan sedikit tazkirah selepas Jumaat tapi menghormati arahan jabatan agama masing-masing, saya mengelak maka saya bersalaman sahaja,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, larangan untuk tidak mengadakan ceramah politik itu adalah di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri dan raja-raja Melayu dan terpakai untuk semua termasuk Perdana Menteri.

“Saya cuma nak ingatkan dalam kenyataan-kenyataan dia (Abdul Hadi) harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan raja-raja Melayu, kalau dibicara Perlembagaan Persekutuan sekali pun ada juga kaedah dia.

“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk Perdana Menteri. Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi, masjid itu harus keluar (kebenaran) kerana itu kuasa agama di negeri itu di bawah raja-raja, jadi kena faham,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Terengganu mengeluarkan larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Tambahnya, larangan tersebut dikeluarkan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button