MB harap pengunjung hargai, pelihara tapak campervan di Port Dickson
PORT DICKSON – Peminat campervan di Negeri Sembilan boleh memilih antara dua tapak disediakan khas bagi melaksanakan aktiviti mereka.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dua tapak berkenaan terletak di Pantai Batu 5 di sini, dan Taman Eko Rimba di Lenggeng.
Beliau berkata, tapak campervan Pantai Batu 5, di sini yang siap sepenuhnya pada 28 November tahun lalu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas, dan kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi pembinaan kedua-dua tapak berkenaan.
“Tapak campervan ini boleh memuatkan sebanyak 12 kenderaan dalam satu masa. Bagi peringkat permulaan tapak ini akan dibuka pada setiap hari dan tiada bayaran dikenakan selama tiga bulan pertama bermula Disember 2023 sehingga bulan ini.
“Ini kerana selain bertujuan sebagai promosi dan pengenalan tapak campervan ini kepada umum, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) juga dalam usaha mengenalpasti operator yang bersesuaian bagi mengendalikan tapak ini dan pemilihan kelak akan dibuat secara tender terbuka,” katanya selepas Majlis Perasmian Tapak Campervan di Pantai Batu 5, di sini petang semalam.
Katanya, penyediaan tapak campervan di Pantai Batu 5 itu untuk menyediakan tempat yang selamat dan selesa kepada peminatnya untuk berkumpul dan melakukan aktiviti riadah berkonsepkan perkhemahan berkenderaan bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Selain itu juga, penyediaan tapak ini juga dapat menarik permintaan baharu dalam industri pelancongan domestik. Kerajaan negeri akan mempergiatkan lagi usaha penganjuran pelbagai aktiviti dan pengukuhan produk pelancongan sedia ada, pembinaan produk baharu bagi menarik lebih banyak kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sejajar dengan kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Aminuddin berkata, pihaknya juga berharap pengunjung di setiap pantai di Port Dickson menghargai prasarana yang di sediakan di sini dan tidak memasang khemah kecuali di tempat yang dibenarkan.
“Di tapak campervan ini tidak dibenarkan memasang khemah atau meletakkan kenderaan berhampiran pantai kecuali di tempat yang disediakan ini demi keselamatan orang ramai dan untuk keselesaan pengunjung lain.
Aminuddin juga berkata, terdapat tiga kluster utama sasaran segmen acara pelancongan yang diberi fokus tahun ini iaitu acara berkaitan pantai, eko pelancongan serta adat dan warisan sejajar dengan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025.
“Setiap acara yang dirancang itu akan menampilkan keunikan, identiti dan keistimewaan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya.