
Kerajaan timbang apungkan harga ayam, telur berdasarkan harga lebih rendah – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menimbangkan supaya harga ayam dan telur diapungkan berdasarkan harga yang lebih rendah daripada harga apungan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, sehubungan itu, harga tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Ini akan diumumkan dalam sedikit masa oleh Kementerian Pertanian setelah berunding dengan pengeluar dan memastikan tidak ada kenaikan harga yang tidak munasabah oleh syarikat dan peniaga.
“Harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, katanya, ini kerana sejak Februari tahun lalu subsidi ayam dan telur diteruskan walaupun pada asalnya diperkenalkan semasa musim perayaan.
“Sejak Februari 2022, soal subsidi telur dan ayam yang dulu hanya diperkenalkan
semasa musim perayaan, tapi sekarang berterusan. Berapa jumlah tanggungan kerajaan sejak itu? RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam ini termasuk kepada golongan kaya dan 3.5 juta orang asing.
“Tujuan asal subsidi sementara ini adalah untuk mengawal harga ayam dan telur yang meningkat mendadak serta menangani kekurangan bekalan. Alhamdulillah, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah mula stabil,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, pengumuman terkait langkah-langkah konkrit lanjutan akan dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam masa dua minggu.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune