Pendaki negara bangga Sultan Ibrahim bersemayam sebagai Agong ke-17
PUTRAJAYA – Pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok mengucapkan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Mohd Khafiz berkata, sebagai anak Johor, beliau amat berbangga dengan pelantikan Sultan Ibrahim dan berharap Seri Paduka dapat membawa nafas baharu kepada negara seperti mana baginda telah lakukan di negeri sepanjang tempoh baginda bertakhta.
“Sudah tentu, sebagai anak Johor, saya amat berbangga dengan pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Banyak yang Seri Paduka telah lakukan di negeri ini, dan saya berharap baginda akan dapat melakukan yang sama juga buat Malaysia.
“Semoga Malaysia menjadi negara yang lebih disegani dan maju di bawah naungan Seri Paduka,” kata Mohd Khafiz yang mewakili Projek Zeroto8000 dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Mohd Khafiz merupakan rakyat Malaysia kedua yang berjaya menawan puncak K2, yang direkodkan sebagai gunung kedua tertinggi dunia selepas Everest.
“Di kesempatan ini, saya dan warga Zeroto8000 ingin merafak sembah ucapan tahniah kepada baginda atas pelantikan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
“Kami juga berdoa semoga Allah SWT melimpahkan Kebawah Duli Tuanku dan Tuanku Raja Permaisuri serta ahli-ahli keluarga dengan taufik dan hidayah, dipanjangkan umur, kesihatan yang baik dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” kata Mohd. Khafiz lagi.