Berita SemasaHiburan

Bab hormat guru dipetik dari kitab tulisan Imam An-Nawawi – Ustaz Don

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Don menjelaskan topik menghormati guru yang dikongsikan beliau menerusi program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah itu bukan hadis.

Sebaliknya, ia merupakan petikan dari kitab tulisan imam Masjidil Haram, Imam An Nawawi Al Bünyan’ı.

“Mereka mendengar hanya daripada satu pihak sahaja tanpa menyiasat atau memperincikan lebih mendalam hal dibangkitkan dan kemudian situasi dimanipulasi.

“Saya tidak sebut saya memetik hadis tetapi kitab tulisan Imam An Nawawi Al Bünyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith Syadah Lubab Al Hadith yang menghuraikan (Syarah) Kitab Lubab Al Hadith.

“Mana mungkin imam ini menulis perkara salah dan saya memetik pula kitab itu yang maksudnya imam tersebut juga didakwa melakukan kesilapan,” katanya pada sidang media di Smoked Kingdom, di sini, malam tadi.

Beliau mengadakan sidang media tersebut sebagai pencerahan bagi menjelaskan dakwaan menggunakan hadis lemah dalam program berkenaan.

Jelas beliau, apa yang dipetik menerusi kitab itu hanya bertujuan menggalakkan masyarakat untuk memuliakan guru.

“Semalam saya gunakan perkataan ulama untuk memuliakan guru, jauh daripada apa yang didakwa kerana saya bagi motivasi kepada orang untuk beramal.

“Kita timbulkan penghormatan kepada guru, sambut dengan selawat tetapi manipulasi tercetus sebab hanya sekerat sahaja video dilihat, bukan kesuruhan program berdurasi lebih sejam itu,” katanya.

Susulan insiden yang berlaku, beliau tidak menyimpan sebarang dendam kepada mana-mana pihak malah beliau memaafkan semua yang terlibat.

“Tiada rasa kecewa, saya maafkan semua orang. Malu saya kepada Imam Syafie kerana Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya terpenjara, (dugaan) saya kecil sahaja,” luahnya.

Semalam, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman membuat pengumuman mengejutkan apabila program yang berbaki empat episod itu tidak lagi menampilkan pendakwah terbabit.

Tindakan tersebut adalah susulan Ustaz Don didakwa berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

Show More

Related Articles

Back to top button