YDPA ucap hari ulang tahun kepada TYT Sarawak
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ucapan berkenaan disampaikan melalui poster yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim, hari ini.
Sambutan ulang tahun kelahiran ke-78 Tun Dr Wan Junaidi merupakan yang pertama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 29 Januari 2024.
Tun Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan tersebut selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.
Sarawak kini meraikan sambutan ulang tahun beliau selama tiga hari bermula Khamis lalu, dengan tujuh acara utama diadakan, termasuk majlis kesyukuran, jamuan negeri, Istiadat Perbarisan, serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri.