Persekutuan Wartawan Antarabangsa beri amaran kepada Israel
BRUSSELS – Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli politik dan pemimpin tentera Israel sekiranya mereka tidak mematuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilakuakan terhadap wartawan.
Menurut surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Galant, IFJ mengesahkan bahawa 600,000 anggotanya menganggap wartawan di Gaza sebagai rakan sekerja mereka.
Surat yang dihantar oleh IFJ, yang diwakili oleh Presidennya, Dominique Pradaliéi dan Setiausaha Agungnya, Anthony Bellanger, menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Wartawan Antarabangsa menjamin perlindungan kebebasan akhbar, hak wartawan dan kebebasan kewartawanan.
“Persatuan Wartawan Palestin adalah salah satu daripada ahli kami, dan wartawan dari 140 kesatuan di seluruh dunia menganggap wartawan Palestin sebagai rakan sekerja mereka,” tulis surat itu lapor Agensi berita WAFA.
IFJ berkata, pihaknya bimbang dengan peningkatan jumlah pembunuhan dalam kalangan wartawan di Gaza sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Jelasnya, jumlah tersebut mewakili hampir sepuluh peratus daripada semua wartawan yang bekerja di Gaza.
ICJ sebelum ini mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah untuk menghalang semua tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilarang oleh Konvensyen Genosid dan melaporkan kembali kepada Mahkamah dalam tempoh sebulan mengenai pelaksanaan langkah-langkah sementara itu.
Surat itu mengatakan bahawa undang-undang antarabangsa menekankan bahawa negara melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk melindungi orang awam, menekankan bahawa wartawan di zon perang mesti dilayan sebagai orang awam dan dilindungi.
“Kami kini menggesa anda untuk komited dan mengeluarkan dasar dan prosedur untuk memastikan anggota tentera Israel mematuhi tuntutan ini.
“Jika ini tidak berlaku, kami tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman di mahkamah antarabangsa terhadap ahli politik dan komander dalam tentera Israel,” tambah IFJ.
Sebagai rekod, seramai 122 wartawan telah terbunuh sejak perang tercetus 7 Oktober lalu.