Kerajaan perkenal saluran tunggal permohonan program TVET
PUTRAJAYA – Semua permohonan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dibuat menerusi satu saluran permohonan sahaja mulai 30 Okt ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan dan tawaran latihan TVET itu boleh dibuat menerusi portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).
Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET), hari ini.
“Peserta boleh memilih kursus mana yang mereka minati dan pusat latihan TVET yang mereka mahu. Ia sekali gus mengelakkan pertindihan dan ketidakpadanan dari segi permohonan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen memorandum kerjasama transformasi program TVET antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu kursus-kursus yang ditawarkan itu berasaskan teknologi tinggi termasuk tenaga diperbaharui dan keperluan guna tenaga yang diperlukan pelabur asing dan mampu memanfaatkan 3.5 juta peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Justeru, beliau sudah mengarahkan Sekretariat TVET supaya menyediakan pelan haja tuju bagi menterjemahkan dasar TVET 1.0 hingga 2030 dan dasar TVET 2.0 seterusnya menjelang 2050.
“Apa yang kita lakukan ini ialah kita harus keluar dari kepompong latihan konvensional TVET selain mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Oleh itu, penyelarasan itu sangat penting kerana kebolehpasaran graduan TVET telah meningkat cukup tinggi melebihi 92 peratus,” katanya lagi.