Presiden UMNO terbang ke Sabah selesaikan isu dalaman
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada petang ini mengesahkan akan bertolak ke Sabah bagi meredakan masalah dalaman UMNO di negeri itu.
Beliau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin politik di negeri itu.
“Saya akan terbang segera ke Sabah selepas acara ini dan akan mengeluarkan kenyataan di Kota Kinabalu esok,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MoodaFest hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kerjasama UMNO Sabah dengan Warisan bagi menentang parti Gabungan Rakyat Sabah (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke 17 (PRN-17) tidak lama lagi.
Suhu politik di Sabah sebelum ini panas susulan keengganan UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kerjasama antara parti itu dengan UMNO bukan sesuatu yang mustahil demi kepentingan rakyat Sabah.
Jika kerjasama itu menjadi kenyataan, kedua-dua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan bakal menentang GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri selain turut menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan.