Berita Semasa

SPRM mulakan siasatan penggunaan dana RM700 juta promosi pencapaian kerajaan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah memulakan siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan dana sebanyak RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Menurut laporan Sinar Online, maklumat dari sumber memaklumkan, perbelanjaan itu digunakan untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Laporan itu menyebut, SPRM difahamkan telah ke Kementerian Kewangan (MOF) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat, selain mendapatkan dokumen berkaitan, hari ini.

“Siasatan tersebut dibuat berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran pada November tahun lalu.

“P. Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan.

“Pemakluman itu dibuat menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini,” kata laporan tersebut, hari ini.

Menurutnya, susulan kenyataan Anwar tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di media sosial X baru-baru ini bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta telah dibelanjakan.

Ekoran itu jelasnya, SPRM telah mengambil tindakan menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta baru-baru ini.

“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah proses tersebut mengikut tatacara yang betul,” kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button