
Operasi pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam yang baharu bermula
SHAH ALAM – Stadium tuan rumah Selangor FC, Stadium Shah Alam yang berkapasiti sekitar 80,000 tempat duduk, kini telah mula dirobohkan untuk memulakan operasi pembinaannya semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor, Ts Saipolyazan M Yusop berkata, beliau mengesahkan perobohan tersebut dimulakan bagi membuka laluan kepada pembinaan dan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu.
“Sempat singgah ke Stadium Shah Alam untuk melihat kerja perobohan dimulakan pada hari ini (semalam) 1 Julai 2024,” katanya dalam laman sosial rasminya.
Beliau mengarahkan kepada kontraktor yang terlibat supaya kerja-kerja merobohkan stadium yang mengambil inspirasi daripada rekaan Stadium Poljud di Croatia itu tidak memberi gangguan besar kepada penduduk sekitarnya.
“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameter pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau bagi memastikan seminimum gangguan kepada penduduk sekitar,” katanya.
Katanya, kompleks itu akan menempatkan sebuah stadium khusus untuk bola sepak yang dilengkapi dengan padang boleh alih, berkapasiti sekitar 40,000 tempat duduk dan bumbung lutsinar.
Tambahnya lagi, di sekitarnya pula akan dibina taman rekreasi, trek riadah, arena tertutup, tempat meletak kenderaan, masjid, ruang niaga, hotel dan lain-lain.
Sementara itu, pembinaan kompleks itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa 1, 2 dan 3 yang akan dijadualkan siap pada akhir 2026, 2028 dan 2029.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |