PU Azman diarah bela diri kes amang seksual
KLANG – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mengarahkan pendakwah bebas terkenal, Azman Syah Alias, membela diri atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja.
Hakim, Syafeera Mohd Said, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie tehadap tertuduh yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man.
Azman Syah,42, kemudian diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.
Pendakwah itu memilih memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Hakim kemudian menetapkan 12 Januari ini untuk prosiding bela diri oleh tertuduh.
Tertuduh menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 pagi dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.