Berita SemasaBisnes & Ekonomi

YGMB – Zurich Takaful tawar skim eksklusif untuk warga pendidikan, KPM

PUTRAJAYA – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) hari ini melancarkan produk perlindungan takaful khas untuk warga pendidikan dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Produk terbaharu yang dinamakan Ahli Skim Platinum (ASP) itu merupakan skim yang menawarkan gabungan manfaat paling komprehensif melibatkan aspek kebajikan dan perlindungan.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, melalui kerjasama dengan Zurich Takaful, YGMB kini menawarkan produk perlindungan terbaik pada harga mampu milik iaitu RM79 sebulan.

Beliau berkata, melalui skim platinum yang ditawarkan itu, pihaknya telah menambah liputan manfaat perlindungan penyakit-penyakit kritikal.

“Selain khairat kematian, kerjasama ini memperluaskan liputan jumlah penyakit kritikal daripada 36 penyakit kepada 52 penyakit kritikal termasuk perkhidmatan ambulans, bantuan untuk anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan keguguran.

“Ini adalah skim terbaik dan terbaharu yang telah dibuat kajian terperinci meliputi segala aspek keperluan ahli.

“Kita juga pastikan nilai tambah pada skim ini bersesuai dengan nilai dan keperluan semasa,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YGMB dan Zurich Takaful, di sini hari ini.

Antara manfaat kebajikan yang ditawarkan kepada ahli ASP adalah khairat kematian (kemalangan) RM132,000, kematian biasa (RM67,000); keilatan kekal (kemalangan) RM130,000, (biasa) RM65,000; penyakit kritikal RM60,000; ragut (RM1,000); kos perubatan (RM10,000),kos guaman (RM30,000) dan banyak lagi.

Majlis mendatangani MoU itu disempurnakan Wan Munadi mewakili YGMB, manakala Zurich Takaful diwakili wakil sah Zurich Takaful, Nur Fatihah Mustafa sambil disaksikan oleh Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.

Wan Munadi berkata, melalui kerjasama itu pihaknya mensasarkan pertambahan 50 peratus langganan skim itu dalam tempoh 5 tahun pertama.

“Kita sasarkan dalam masa empat hingga lima tahun ini sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 450,000 warga guru di seluruh negara akan mendaftarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Nur Fatihah berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif pihak Zurich Takaful melebarkan perkhidmatan ke dalam sektor awam.

“Produk ini eksklusif kepada warga pendidik dan kakitangan KPM sahaja buat masa ini. Insyallah tidak lama lagi kami akan mulakan jelajah untuk memperkenalkannya di seluruh negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button