Kisah Ashabul Kahfi: Anwar zahir penghargaan kepada asatizah bahas dengan sihat, beradab
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam membahaskan mengenai isu Ashabul Kahfi.
Anwar dalam ucapan sebelum ini pernah memetik kisah pemuda (Ashabul Kahfi) yang ditidurkan Allah di dalam sebuah gua selama beratus tahun dan menyatakan persamaan kisah dari al-Quran itu dengan apa yang diceritakan di dalam kitab Injil.
Di dalam ucapan itu juga, Anwar menyedari kebarangkalian ucapannya itu akan disalah tafsir dan diambil dalam konteks yang salah kerana menyamakan al-Quran dengan Injil.
Justeru, Anwar menegaskan, adalah penting untuk membudayakan wacana yang sihat, terbuka dan beradab seperti yang ditegaskan Islam.
“Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang bersama dalam perbahasan ini dengan menegak budaya wacana yang sihat, terbuka dan beradab seperti yang ditegaskan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran tersebut, Perdana Menteri turut memetik Ayat 14, Surah Al Kahfi yang bermaksud ‘Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata,”Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.
Selain itu, beliau juga berkongsi video berdurasi empat minit 26 saat yang memaparkan perbahasan beberapa ilmuan tempatan berhubung kisah Ashabul Kahfi.
Terdahulu, tular di media sosial seorang penceramah terkenal dari Terengganu mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.
Berdasarkan video dikongsikan Anwar, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menasihatkan penceramah itu agar tidak sewenang-wenangnya menyatakan seseorang itu sesat dan jahil hanya kerana berbeza pendapat dan pandangan.
“Tapi dengan begitu cepat menyebut ini (kenyataan Anwar) sesat dan jahil, itu keras. Dikatakan sebagai pendakwah, jujurlah kalau benda yang sama berlaku kepada rakan ataupun pihak yang disukai..,” katanya.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama penceramah itu membuat tohmahan sedemikian.
“Ini bukan kali pertama. Dahulu semasa kami ada perkampungan sunnah di Perlis beliau juga kata sesat kepada kami. Bila diajak untuk berhadapan dan bertemu, dia tidak berani. Saya pun tidak tahu kenapa sampai ke tahap ini,” ujarnya lagi.