Berita Semasa

Polis siasat kejadian 10 anak kucing direndam sampai mati

JERANTUT – Polis menyiasat kejadian 10 ekor kucing yang mati dipercayai direndam dalam air di Pasar Borong Temin di Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Ketua Polis Jerantut Azman Mat Kamis berkata, siasatan itu dibuat susulan laporan seorang lelaki berusia 27 tahun yang menemui bangkai kucing itu di lokasi kejadian pada jam 5 petang, Rabu lalu.

“Pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan orang yang melakukan perkara tersebut ke atas kucing-kucing berkenaan.

“Selama ini kucing-kucing tersebut diberi makan oleh pengadu di tempat kejadian,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup dan hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati haiwan itu dibunuh di dalam kawasan pasar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, Persatuan Haiwan Malaysia menawarkan ganjaran RM5,000 bagi mengesan pihak membunuh 10 anak kucing itu.

Show More

Related Articles

Back to top button