Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Anugerah E50: Pencarian 50 PMKS terbaik di Malaysia bermula

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hari ini melancarkan Program Anugerah E50 oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam usaha mencari 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia.

Menurut Ewon Benedick, setakat tahun ke-24 penganjurannya, sebanyak 763 syarikat telah menerima anugerah ini dan 67 daripadanya telah tersenarai dalam Bursa Malaysia.

“Kita buka seluas-luasnya anugerah ini kepada semua PMKS di kawasan dalam bandar atau luar bandar tidak kira syarikat itu dimiliki wanita atau belia dan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Anugerah E50 di Hotel Aloft di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Jelasnya lagi, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50, satu Anugerah Khas Baharu akan diperkenalkan di bawah Program Anugerah E50 pada tahun ini iaitu Anugerah Amalan ESG (sosial dan tadbir urus) Terbaik E50.

Katanya, anugerah ini diperkenalkan bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan mereka.

Dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ Anugerah E50 2024 bakal menjadi rebutan bagi melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan.

Meraikan tahun ke-24 penganjurannya, Anugerah E50 yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini dianjurkan bersama oleh SME Corp dan Deloitte Malaysia.

Ia turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Malaysia SME, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.

Show More

Related Articles

Back to top button