
Butiran tidak lengkap, polis tolak permohonan Himpunan Selamatkan Malaysia
KUALA LUMPUR – Permohonan penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia oleh Perikatan Nasional (PN) yang dijadual diadakan di tengah ibu kota esok ditolak pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, permohonan itu tidak diluluskan kerana syarat permohonan yang tidak lengkap oleh penganjur.
“Kami tak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat yang diberikan penganjur tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima.
“Sebelum ini, perhimpunan dikatakan akan dibuat berhampiran dengan sebuah pusat beli-belah di ibu negara, namun maklumat terkini yang diterima polis mengatakan ia akan dibuat di salah sebuah masjid di Kampung Baru,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, malam tadi.
Himpunan Selamatkan Malaysia anjuran Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari adalah sebagai simbolik bermulanya Gerakan Selamatkan Malaysia sempena Hari Malaysia, esok.
Mohd. Shuhaily berkata, kegagalan penganjur menyatakan lokasi perhimpunan memberikan impak kepada orang ramai terutama melibatkan laluan pengguna jalan raya.
“Ini akan menyukarkan banyak pihak terutama pengguna jalan raya. Saya berharap pihak penganjur bertanggungjawab bantu kami selaraskan penugasan pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau pada masa sama menyuarakan rasa hairan atas kegagalan penganjur mematuhi syarat diperlukan kerana sudah terlibat dalam beberapa demonstrasi sebelum ini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune