Mat Salleh potong Q: Menara Berkembar Petronas mohon maaf
KUALA LUMPUR – Pihak Menara Berkembar Petronas memohon maaf susulan dakwaan seorang pengunjungnya yang menerima layanan tidak memuaskan ketika berkunjung ke menara itu baru-baru ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perkara berkenaan.
“Pihak Pengurusan Operasi Lawatan Menara Berkembar Petronas ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihak pengurusan itu juga berjanji perkara berkenaan tidak akan berulang lagi.
“Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” tambahnya.
Terdahulu, menerusi akaun Facebook dikenali sebagai Shamsuddin Nawawi meluahkan rasa tidak puas hati apabila kakitangan menara berkembar berkenaan memberi layanan istimewa dan mendahulukan satu pasangan ‘mat saleh’ untuk menaiki Skybridge KLCC walaupun dia telah menunggu lebih awal.
Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, dia telah meminta penjelasan daripada kakitangan tersebut namun alasan diberikan tidak memuaskan hati.