Malaysia akan sediakan platform dialog mengenai pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif
Bagi ASEAN mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar
VIENTIANE, Laos – Malaysia akan menyediakan platform mengenai pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif untuk rakan-rakan dialog strategik semasa tempoh kepengerusian ASEAN tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan ini merupakan langkah bagi ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar di peringkat global.
Bertemakan ‘ASEAN Unity for Security and Prosperity’, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan efektif dan berkesan buat setiap negara anggota, demi terus memelihara kestabilan dan keselamatan serantau, lapor BERNAMA.
“Adalah menjadi tekad Malaysia untuk meneruskan segala pencapaian yang membawa ASEAN ke tahap yang lebih tinggi sekali gus membawa manfaat kepada setiap komuniti negara-negara anggota dan kesejahteraan serantau,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohamed Khaled kini berada di Vientiane, ibu negara Laos bagi menghadiri Mesyuarat MenteriMenteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-PIus ke-1l, yang berakhir semalam.
Pada akhir mesyuarat itu semalam, Laos turut menyerahkan kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus kepada Malaysia yang disaksikan oleh ketua delegasi setiap negara yang hadir ke mesyuarat itu.
“Tahun 2025 menjadi tahun yang begitu bermakna buat Malaysia. Bukan sahaja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, malah Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045,” katanya.
Malaysia telah memegang tampuk kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015, yang menyaksikan setiap kali kepengerusian dijalankan,Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN.