Aplikasi MyOnePAS ada risiko keselamatan
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak memuat turun aplikasi super keluaran PAS, MyOnePAS sehingga ia ditawarkan di platform berdaftar seperti Google Play Store atau Apple App Store.
T Murugason, Ketua Pegawai Eksekutif Novem CS iaitu sebuah syarikat keselamatan siber berkata, penggunaan aplikasi itu mempunyai risiko yang signifikan khususnya terhadap keselamatan kewangan.
MyOnePAS yang dilancarkan pada Ahad lalu memuatkan ciri seperti e-dompet dan perkhidmatan pembayaran bil, perlu dimuat turun dalam bentuk kit pakej android (APK) dari satu laman web.
“Memandangkan aplikasi dimuat turun dari sumber selain kedai maya rasmi memintas protokol keselamatan, pengguna lebih berisiko berdepan perisian hasad atau berbahaya lain,” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Katanya, ini mendedahkan pengguna kepada kod berbahaya.
“Tambahan, ada aplikasi mungkin dibenam perisian intip yang boleh mencuri butiran peribadi daripada peranti anda dan menyalurkannya kepada pihak yang tidak diingini,” katanya.
Murugason berkata, lebih selamat bagi pengguna memuat turun aplikasi dari kedai maya rasmi memandangkan platform seperti itu melakukan saringan menyeluruh untuk memastikan aplikasi bebas daripada perisian hasad.
Jurutera perisian L Raaj menasihatkan pengguna agar tidak memuat turun aplikasi itu buat masa ini kerana risiko keselamatan berkaitan dengannya “tinggi”.
Bagaimanapun, beliau faham tujuan parti itu melancarkan aplikasi berkenaan dalam bentuk APK, iaitu format fail untuk peranti Android mengandungi komponen perlu bagi pemasangan aplikasi, termasuk kod, sumber, dan maklumat aplikasi.
Raaj, CEO agensi pemasaran teknologi Techmonquay berkata, pembangun mungkin memilih memperkenalkan aplikasi sebagai APK buat permulaan kerana integrasi dalam kedai maya memakan masa.
Katanya, penggunaan APK membolehkan pembangun menghimpunkan maklum balas pengguna dan membuat penambahbaikan yang perlu.
“Bagaimanapun, melancarkan aplikasi itu di laman web mereka terlebih dulu juga mungkin tindakan pemasaran strategik,” katanya.
“Ini dapat membantu memberi aplikasi itu momentum awal supaya apabila sudah didapati di Play Store, ia mampu menarik lebih banyak muat turun.”