Separuh rakyat Malaysia tiada simpanan RM1,000
KUALA LUMPUR – Separuh daripada rakyat Malaysia tidak tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000 disebabkan kurangnya kesedaran terhadap pengurusan kewangan, demikian menurut Pengasas Harvard Scholar Academy (HSA), Nurull Rahmat.
Selaku Perunding Pengurusan Hutang, Nurull, 38, berkata, mereka yang berdepan dengan masalah kewangan dinasihatkan untuk tidak membuat pinjaman daripada syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’ yang akhirnya boleh memerangkap diri mereka.
“Cara itu ibarat gali lubang, tutup lubang untuk menyelesaikan masalah namun bakal memberi bebanan hutang berada pada tahap serius.
“Sebaliknya mereka perlu bijak dengan melakukan penyusunan ke atas hutang mereka dengan disatukan selain membayar pinjaman itu dengan kadar yang rendah,” katanya dalam satu temu di sini, baru-baru ini.
Menurut Nurull lagi, masalah hutang ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat biasa, malah kakitangan awam, golongan professional turut menghadapi masalah yang sama atas pelbagai faktor.
Katanya, berdasarkan kes-kes yang dikendalikan beliau, antara faktor yang menyebabkan seseorang itu berhutang adalah amalan gaya hidup bermewah-mewah.
Lebih buruk lagi, Nurull berkata, ada juga yang sanggup membuat pinjaman untuk pergi bercuti walaupun hakikatnya ia di luar kemampuan diri.
“Ada pensyarah jumpa saya, pengarah syarikat, kakitangan awam serta profesional seperti doktor dan cikgu pakar pun ada yang jumpa saya kerana ada masalah hutang,” katanya lagi.
Untuk rekod, sehingga Februari 2018, jumlah hutang terkumpul penjawat awam adalah sebanyak RM236 bilion.
Rentetan daripada permasalahan tersebut, Nurull yang juga berkelulusan Diploma Engineering Business Management, Universiti Teknologi MARA (UITM), komited untuk membantu orang ramai yang dibelengu dengan masalah hutang.
Jelas beliau, pengalaman dalam khidmat nasihat kewangan secara peribadi kepada golongan professional, penjawat awam dan kakitangan swasta akan diguna sebaik mungkin bagi membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, ia merangkumi penetapan matlamat kewangan, merangka jadual simpanan, bajet dan melindungi pendapatan serta aset mereka dalam satu modul lengkap menerusi program bimbingan pengurusan kewangan.
Mengulas lanjut, Nurull berkata, HSA juga menyasarkan untuk menyelesaikan seramai 10,000 pelanggan yang berdepan masalah hutang tahun depan menerusi Program I Coach Kewangan (PICK).
Katanya, jumlah itu merupakan peningkatan 100 peratus daripada 100 pelanggan yang dibantu menggunakan perkhidmatan syarikat itu yang beroperasi sejak setahun yang lalu.
“Kami memberi tumpuan kepada pengurusan hutang kerana masalah hutang kini menjadi beban yang besar kepada kesejahteraan kewangan seseorang jika tidak diuruskan dengan berkesan.
“Justeru, kami akan melaksanakan strategi seperti belanjawan, menyatukan hutang dengan faedah tinggi dan membuat pembayaran balik tepat pada masanya yang boleh membantu mereka mengurangkan hutang dan mengelakkan tekanan kewangan akibat terjebak dalam perangkap hutang,” ujarnya lagi.