Berita Semasa

Rombak kabinet : Tiada keperluan mendesak – PM

KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan mendesak untuk kerajaan melakukan rombakan Kabinet ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan membincangkan perkara itu dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, pada ketika ini hanya terdapat satu kekosongan jawatan iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) namun kekosongan itu dipantau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dan Timbalan Menteri (KPDN), Fuziah Salleh memberikan perhatian.

“(Pertemuan dengan) Yang di-Pertuan Agong ini, saya memang ada secara mingguan. Jadi mungkinlah, mungkin (rombakan), nanti saya fikir sekejap.

“Tapi ia tak mendesak sangat sebab yang kosong satu, saya dah minta Menteri (Armizan) dan Fuziah memberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat melibatkan beberapa kementerian serta dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kosong selepas kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sejak dua bulan lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button