Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani gesa Radzi digantung tugas sebagai Ahli Parlimen
CYBERJAYA – Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani menggesa supaya Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin digantung tugas sebagai Ahli Parlimen.
Pengerusinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, majlis tersebut dalam mesyuaratnya hari ini sebulat suara membidas tindakan Radzi kerana mengeluarkan ‘kenyataan jahat’ terhadap Perdana Menteri serta keengganan beliau mematuhi arahan Speaker Dewan Rakyat sewaktu sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.
Sehubungan itu, satu ketetapan telah dicapai iaitu untuk meminta Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, memulakan segala usaha yang perlu bagi menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.
“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
“Tindakan biadap Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” kata Shamsul Iskandar dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, satu kekecohan tercetus ketika sesi penggulungan KSP RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kekecohan itu timbul apabila Radzi bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.
Susulan itu, Johari meminta Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat namun gagal memuaskan hati pembangkang.
Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya, bagaimanapun Speaker Dewan menjelaskan, Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta semua ahli dewan duduk untuk memberi laluan pengulungan diteruskan.
Perkara itu membuatkan Radzi tidak berpuas hati dan terus bersuara dan kelihatan agak emosi.
Keengganan Radzi untuk duduk bagi memberi laluan kepada sesi pergulungan diteruskan akhirnya menyebabkan Johari membuat keputusan memintanya keluar dewan.
Bertindak atas dasar maruah ahli Parlimen mereka, kesemua pemimpin pembangkang kemudiannya sepakat keluar dewan bersama Radzi.