Berita Semasa

ASEAN perlu kekal berkecuali hadapi ketidaktentuan global – Tengku Zafrul

VIENTIANE – ASEAN disaran mengekalkan kedudukannya sebagai blok berkecuali dan menjalin hubungan dagangan yang baik dengan semua negara bagi memastikan ketahanan blok tersebut dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ASEAN perlu memastikan isu keterangkuman dan kemampanan di rantau ini lebih jelas bagi meningkatkan pelaburan, yang kini menunjukkan perkembangan positif.

“Pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Ke-24, Sekretariat ASEAN telah membentangkan risiko yang dihadapi akibat ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dunia ketika ini.

“Justeru, adalah penting untuk kita terus menjadi blok berkecuali dan terus berdagang serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, termasuk Eropah, Barat, China, malah Russia dan negara-negara dalam BRICS,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan ekonomi global kelihatan lebih perlahan daripada jangkaan, ASEAN masih lagi menjadi destinasi pelaburan tertinggi berbanding tahun sebelumnya, berbeza dengan pelaburan langsung asing (FDI) global yang menunjukkan penurunan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata ASEAN perlu bersatu dalam menghadapi cabaran berkaitan perlindungan tarif yang digunakan untuk melindungi pasaran sesetengah negara.

“ASEAN perlu terus bekerjasama dengan blok antarabangsa lain melalui platform seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya lagi.

Sementara itu, Malaysia akan mengumumkan Pelan Strategik AEC 2026-2030 ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei tahun depan.

“Selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, pelan lima tahun itu mesti disesuaikan dengan situasi ekonomi semasa serta perkembangan global, terutama perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China serta isu geopolitik lain,” katanya lagi.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa ASEAN berpotensi menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 sekiranya rantau ini kekal berkembang pada kadar empat hingga lima peratus, berbanding kedudukan kelima ketika ini.

Dalam pada itu, mesyuarat AEC turut menekankan usaha memperkasa perdagangan antara negara anggota ASEAN, di samping memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang 90 peratus kepada ekonomi rantau ini.

Mesyuarat Majlis AEC Ke-24 diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok.

Pada Jumaat, Laos akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia secara rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button