PM Anwar perjelas isu ‘turun harga minyak’
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan janji harga minyak turun yang dibuat sebelum ini telah dipersetujui semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) ketika itu, termasuk Pas.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dakwaan yang dibuat oleh pembangkang berhubung isu kenaikkan harga minyak adalah tidak tepat, sebaliknya beliau menegaskan harga minyak pada tahun ini masih rendah.
“Ada pertikai soal minyak, hari ini kita menang esok minyak turun.
“Bila saya sebutkan perkara itu semasa PKR, DAP dan Pas bersama, apa saya sebutkan itu dipersetujui oleh PKR, DAP dan Pas.
“Masa itu berapa harga minyak Arab Saudi? 50 sen per liter. Sekarang saya jadi PM, berapa harga petrol tahun 2018? Di Malaysia RM2.21, Arab Saudi dah naik RM2.19.
“Sekarang tahun 2023, minyak di Arab Saudi RM2.84, berapa harga minyak di Malaysia? RM2.05.
“Jadi kita ambil kira ini bahawa kenaikan penurunan minyak, maknanya harga minyak kita masih rendah.
“Brunei sekarang RM1.84, oleh itu untuk terus menggunakan komen dan hujah yang kita buat bersama dalam PR tidak semuanya tepat,” katanya pada sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Jengka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan kenyataan Perdana Menteri itu.
“Terima kasih, saya bersama masa itu, Pas tidak pernah bersetuju masa itu,” kata Tuan Ibrahim.
Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohammad Sabu kemudianya mencelah dengan mengatakan beliau bersetuju pada ketika itu.
“Masa itu saya setuju, masa itu dia (Tuan Ibrahim) bukan lagi pimpinan,” ujarnya yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Presiden Pas.