China gandakan import minyak sawit dari Malaysia – PM
NANNING – China akan meningkatkan pembelian minyak sawit dari Malaysia sebanyak 500,000 tan setahun berbanding 250,000 tan pada setahun sebelumnya, maklum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, peningkatan tersebut adalah hasil daripada pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sime Darby Oils International Ltd (Sime Darby Oils) dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group (GuangXi Beibu).
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata, MoU itu pastinya akan menjamin kepentingan peneroka dan pengeluar pekebun kecil.
“Kali ini adalah perjanjian tetap daripada China dan ia adalah satu kejayaan besar kepada rakan-rakan kita yang terbabit,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan kerja sehari beliau di sini, semalam.
Anwar bersama beberapa menteri Malaysia, telah menyaksikan pertukaran MoU tersebut sempena lawatan kerja sehari beliau ke Nanning, China bagi menghadiri majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) Ke-20, dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS)
Dengan anggaran eksport sebanyak RM2.5 bilion, MoU di antara Sime Darby Oils dan GuangXi Beibu membabitkan kerjasama dalam pembinaan pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.