ADUN tunggal Muda di Johor sahkan tidak lagi bersama blok BN-PH
JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan tidak lagi berada bersama Pakatan Harapan (PH) di blok pengimbang kerajaan di Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, keputusan tersebut adalah selari seperti yang ditetapkan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Ahad bahawa parti itu tidak lagi bersama PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang merupakan ADUN Puteri Wangsa, sebagai wakil Muda di Johor beliau tidak lagi akan berkongsi blok yang sama dengan PH atau BN.
“Apa maksudnya untuk kedudukan kerusi Puteri Wangsa? Bagi DUN Johor, kedudukan sebelum ini untuk PH dan Muda adalah di blok pengimbang kerajaan.
“Maka sebagai Timbalan Presiden Muda, kini saya juga bersama-sama dengan keputusan parti untuk keluar daripada kumpulan blok PH dan BN.
“Ini sejajar dengan aspirasi untuk mengekalkan prinsip politik yang telah saya dan Muda bawa sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun tidak lagi bersama PH, Amira berkata, negeri dan penduduk DUN Puteri Wangsa tetap menjadi keutamaan walau apapun cabaran atau ujian yang akan dihadapi selepas ini.
“Saya percaya politik baru menuntut setiap satu wakil untuk mengambil tanggungjawab yang dihulur dari rakyat dan pengundi. Keputusan yang Muda lakukan ini adalah bertujuan untuk terus melindungi amanah tersebut,” katanya.
Kelmarin, Muda mengumumkan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.
Susulan itu pada Isnin, Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, Muda kini tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di negeri ini dan langkah tersebut adalah wajar berdasarkan keputusan terkini Muda selepas tidak lagi sehaluan dengan PH dalam beberapa perkara.