Politik

Tiada pemilihan jawatan tertinggi UMNO, ahli parti serah bantahan kepada ROS

PUTRAJAYA – Dua ahli UMNO masing-masing dari Terengganu dan Negeri Sembilan hari ini membantah keputusan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan parti itu pada pemilihan akan datang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di sini hari ini.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Nasir berkata, dua bantahan yang mewakilinya dan Ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom diserahkan kepada Pengarah Bahagian Siasatan ROS pada pukul 11 pagi ini.

Muhammad Aizat berkata, bantahan itu mendesak ROS meneliti semula keputusan usul tiada pertandingan jawatan tertinggi UMNO yang diputuskan pada Perlembagaan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022 minggu lalu kerana berlanggaran dengan perlembagaan parti.

“Apa yang kita bangkitkan adalah pembawaan usul yang mana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang mengikut perlembagaan mesti dilakukan setiap tiga tahun sekali.

“Selain itu, usul pindaan (terhadap ucapan Presiden) itu sepatutnya sama dengan usul asal sedangkan usul (tiada pertandingan jawatan) tidak pernah dibawa di peringkat bawahan (cawangan atau bahagian).

“Kita juga dapati tiada notis dihantar berhubung usul itu dalam tempoh 14 hari (syarat) sebelumnya,” katanya selepas menyerahkan surat bantahan kepada ROS di sini hari ini.

Muhammad Aizat berkata, walaupun wujud klausa dalam UMNO yang membenarkan usul dimasukkan dalam persidangan, perkara itu juga tidak menetapi syarat iaitu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu menerangkan sesuatu usul kepada perwakilan dan usul mesti berkepentingan awam.

“Usul ini usul yang tidak dimaklumkan dan ia juga hanya memberi kepentingan kepada dua individu yang memegang jawatan berkenaan bukannya untuk semua.

“Dalam kes ini, perkara itu tidak berlaku. Jadi hari ini kita bawa bantahan kepada ROS ..memang ketetapan parti betul tapi bercanggah dengan perlembagaan parti, jadi ia tidak boleh digunapakai,” katanya.

Beliau berkata, pihak ROS telah bersetuju untuk menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan kami berasas,” katanya.

Sementara itu Ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menyifatkan keputusan usul dalam PAU 2022 itu sebagai satu pemandulan demokrasi.

Justeru itu, beliau menyeru lebih ramai ahli UMNO tampil membuat aduan mengenai perkara itu kerana keputusan yang dicapai dalam PAU 2022 tidak mewakili suara akar umbi parti.

PAU 2022 pada minggu lalu meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti Melayu terbesar itu.

Usul diluluskan melalui undian yang mendapat sokongan lebih 90 peratus, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Said.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keputusan itu bertentangan dengan idealisme demokrasi parti dan boleh menjejaskan kepercayaan generasi muda terhadap parti.

Show More

Related Articles

Back to top button