Buku panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras SPRM diterbit secara rasmi
KUALA LUMPUR – Buku panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara rasminya diterbitkan bagi panduan Unit Integriti dan Governans untuk Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) di negara ini.
Perintis bagi penerbitan buku tersebut, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) dalam satu kenyataan berkata, buku panduan itu akan diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris seterusnya ditaja penerbitannya bagi diedarkan ke lebih 300 SBK seluruh negara.
Katanya, penerbitan buku tersebut menjadi simbolik misi usahasama berterusan antara PROLINTAS dengan SPRM bagi menggalakkan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang berkesan dalam SBK.
“Versi terbaharu tatacara itu telah dibangunkan secara teliti oleh Divisyen Pengurusan Integriti Agensi, SPRM yang dipimpin oleh Pengarah Divisyen berkenaan, Datuk Nor Azmi Karim,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, perasmian buku itu telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Hari Integriti 2023 yang dianjurkan oleh PROLINTAS dengan kerjasama SPRM pada 4 September lalu.
Turut dijalankan pada Hari Integriti 2023, perkongsian ilmu dan forum yang memfokuskan topik-topik dalam bidang integriti, tadbir urus terbaik oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.
Tambahnya, melalui inisiatif PROLINTAS itu, SPRM telah menawarkan insentif pengecualian cukai kepada pihak syarikat selain menjadi penerbit bersama rasmi buku panduan itu.
Selain PROLINTAS, panduan baharu buku itu turut dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Khazanah Nasional Berhad, Indah Water Konsortium (IWK) dan UEM Sunrise Berhad.
Untuk rekod, PROLINTAS telah menjadi pengendali lebuh raya pertama di Malaysia yang diiktiraf Anugerah Emas dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022.