Amanah letak Suhaizan Kaiat, Nazri calon pertahankan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram
KUALA LUMPUR – Parti Amanah meletakkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, bagi kerusi DUN Simpang Jeram pula, pihaknya mencalonkan Nazri Abdul Rahman.
“Mesyuarat Amanah Nasional pada 15 Ogos lalu telah bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang dianggotai oleh Naib Presiden Amanah, Adly Zahari; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli; Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden); Ketua Awan, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Pemuda, Hasbie Muda dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PRK di Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayob yang juga Timbalan Presiden Amanah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Sementara itu, katanya, kedua-dua calon itu akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos 2023 nanti di DUN Simpang Jeram.