Berita SemasaPolitik

Ketua Pemuda UMNO selar syarikat arak sumbang dana sekolah

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyelar tindakan sebuah syarikat arak yang memberi sumbangan kepada tabung sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana kerajaan telah menetapkan polisi tidak membenarkan syarikat rokok, arak dan judi menyumbang kepada pihak sekolah.

Dalam hantaran di Facebook beliau pagi ini, Dr, Akmal menyokong tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mempertahankan garis panduan mengenai perkara itu.

“Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai isu ini bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik.

“Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini (syarikat arak) untuk menyumbang, apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini.

“Saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya,” katanya.

Kenyataan Akmal itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Loke Siew Fook yang mahu membawa isu berkenaan ke Parlimen untuk dibentangkan.

Anthony Loke sebelum ini berkata, isu membabitkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina bagi mengumpul dana sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

“Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan negara yang mengikut aturan kamu Anthony Loke Siew Fook,” tegasnya.

Baru-baru ini tular gambar memaparkan pihak SJKC menerima sumbangan cek berjumlah RM3 juta daripada sebuah syarikat arak terkemuka.

Majlis penyerahan cek itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.

Menjelaskan perkara itu, Aiman Athirah berkata, beliau hadir ke program tersebut bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.

Show More

Related Articles

Back to top button