Berita Semasa

Nahas pesawat: Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga ADUN Pelangai, 9 mangsa lain

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datuk Seri Johari Harun dan sembilan mangsa lain yang terkorban dalam nahas jet persendirian di Elmina, Shah Alam, Selangor, tadi.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mengejut EXCO kerajaan negeri Pahang itu serta sembilan mangsa yang lain dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan Allahyarham kepada negeri Pahang Darul Makmur, khususnya dalam memperjuangkan masyarakat desa dan luar bandar,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut berdukacita di atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu yang merupakan seorang rakan yang akrab dengan baginda dan keluarga.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negeri Pahang Darul Makmur dan juga kepada Seri Paduka Baginda berdua.

“Allahyarham adalah ADUN Pelangai di Parlimen Bentong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button