Bantu ribuan pesakit buah pinggang, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi terima anugerah Asia Book of Records
KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi mencipta sejarah apabila dianugerahkan sijil pengiktirafan Asia Book of Records selepas berjaya merawat ribuan pesakit buah pinggang kronik (CKD).
Beliau diiktiraf kerana berjaya merawat sejumlah 5,000 pesakit buah pinggang kronik (CKD) dalam tempoh 13 tahun yang lalu tanpa memerlukan dialisis, sekali gus menandakan pencapaian luar biasa dalam bidang perubatan di rantau Asia.
Menurut Dr Ab Aziz, beliau yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai pakar perubatan integratif, menyifatkan perubatan moden sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah penyakit kronik terutama penyakit buah pinggang kronik.
“Di Malaysia sahaja terdapat lebih 9,000 pesakit buah pinggang baharu setiap tahun dan jumlah 4.5 juta rakyat Malaysia mengidap masalah buah pinggang.
“Kehidupan mereka yang menjalani dialisis ini cukup perit kerana perlu menjalani rawatan hampir setiap minggu, malah kosnya sangat mahal. Malaysia kini berada di tangga kedua tertinggi didunia yang memiliki pesakit buah pinggang dan bergantung dialisis setiap minggu” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Eastin, di ibu negara, semalam.
Jelas beliau, selain kaedah menjaga diet pemakanan yang ketat selama setahun, proses bekam juga turut digunakan bagi membuang darah kotor dalam badan.
“Rawatan bekam klinikal yang kami tawarkan amat unik kerana ia berpaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat, bersih, selamat dan memberikan kesan perubatan yang positif.
“Lebih menarik, segala perundingan dan rawatan dipantau oleh saya sendiri serta dikendalikan oleh kakitangan terlatih dan berpengalaman” ujarnya yang juga mengetuai Kumpulan Penyelidik Bekam Klinikal USM Kubang Kerian merangkap Pengasas serta Penyelaras Kursus Diploma Eksekutif Jurubekam Klinikal di Universiti Sains Malaysia (USM).
Mengulas mengenai rawatan CKD, Ab Aziz berkata, ia menggabungkan rawatan perubatan alopatik konvensional bersama teknik perubatan integratif.
“(Ia merangkumi) pengubahsuaian diet, rendaman air panas, rawatan 360 darjah yang diperkenalkan oleh Dr. Binwaroop Roy Chowdhury, dan terapi bekam. Semua rawatan ini dijalankan di klinik Nco Medicare di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.
Sebagai rekod, pasukan Kumpulan Neo Medicare pakar dalam menggunakan penjagaan perubatan integratif untuk membantu merawat penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang kronik (CKD), diabetes mellitus dan sindrom metabolik serta penyakit kronik yang lain.
Kumpulan perubatan turut dilengkapi dengan pelbagai mesin dan peralatan canggih dan termaju seperti hipertermia, ECP dan CTU dan i-tera bagi mempercepatkan proses pemulihan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune