Berita Semasa

Remaja parah di perut tertusuk buluh dalam kemalangan motosikal

GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki cedera parah di bahagian perut akibat tertusuk buluh selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang membawa muatan itu yang diparkir di Kilometer (KM) 29 Jalan Gua Musang-Jeli, di atas jambatan Pulau Setelu, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara dikatakan mengalami kecederaan parah selepas tertusuk buluh berukuran dua meter sehingga menembusi perutnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan untuk memancing dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu.

“Setiba di lokasi kejadian, mangsa telah terlanggar belakang sebuah trak pikap dengan muatan buluh yang sedang diparkir di tepi jalan.

“Salah satu batang buluh berukuran dua meter telah tertikam menembusi perut pelajar terbabit,” kata Choon Foo.

Menurut beliau, mangsa telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Kes disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button