Berita Semasa

Daftar perkahwinan pasangan bukan Islam di JPN tidak libatkan ritual agama

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan sesi pendaftaran perkahwinan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak melibatkan sebarang ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

Menurut JPN dalam satu kenyataan, ia adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.

“Proses pendaftaran Perkahwinan
Sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular di media sosial dan
aplikasi WhatsApp Menteri Dalam Negeri sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN pada pagi ini.

Antara pengisian program itu adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.

Menurut kenyataan itu lagi, JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Katanya, berdasarkan akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.

“Selain menteri, Ketua Pengarah
Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah
Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai  dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut,” katanya.

Sementara itu menurut kenyataan itu, sesi itu juga bukan pertama kali dilakukan malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan menteri diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.

“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button