PRN Terengganu: Empat tidak dapat mengundi, kad pengenalan sudah digunakan individu lain
KUALA TERENGGANU – Empat pengundi tidak dapat melaksanakan tanggung jawab mereka apabila didapati individu lain sudah mengundi menggunakan nombor kad pengenalan mereka.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya telah turut menerima laporan mengenai kes berkenaan.
Beliau berkata, empat kes itu melibatkan tiga di Kuala Terengganu dan satu di Marang.
“Kita menerima laporan empat kes membabitkan empat individu tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka diguna oleh orang lain,” kata Mazli di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Terengganu, petang tadi.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkata proses pengundian di negeri itu hari ini berjalan dengan lancar dan tenang.
“Situasi tenang dan tiada sebarang provokasi melampau berlaku. Saya menasihati orang ramai supaya jangan buat kecoh atau sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Begitu juga selepas pusat pengundian ditutup nanti menjelang pengiraan undi dan selepas keputusan diperolehi, penyokong-penyokong parti jangan sesekali berbuat demikian dan saya nasihatkan supaya mereka juga tidak mengganggu lalu lintas dengan mengadakan konvoi di tengah jalan meraikan kemenangan,” katanya lagi.