‘Saya bantu calon, bukan sokong parti’ – KJ
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyatakan kehadiran beliau semasa kempen calon Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan bukan bertujuan untuk menyokong parti.
Sebalikanya, bekas Menteri Kesihatan itu menegaskan kehadiran beliau hanya untuk membantu calon PN tersebut.
“Ya, betul. Saya turun ke Jeram, baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.
“Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa dalam pertandingan negeri, ada ruang untuk kita sokong calon,” katanya dalam siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ semalam.
Menurut Khairy, pada musim PRN ini, tumpuan juga harus diberikan kepada calon tanpa mengira bendera parti.
“Atas semangat itu, saya pergi ke Jeram kerana calon adalah Harisson dan ramai yang tidak tahu, selain sebagai kawan lama saya, kami sertai Pemuda UMNO pada akhir 90-an.
“Harisson juga adalah pencadang kepada saya ketika bertanding di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan beliau berada bersama saya setiap hari, setiap waktu… Jadi takkanlah saya tidak boleh membalas budi tanpa diserang oleh pentaasub Twitter yang menyatakan lebih baik saya diisytiharkan sebagai ahli Bersatu dan sebagainya,” katanya lagi.
Malah, ujarnya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Dia Barisan Nasional (BN), antara kawan baik saya dalam UMNO. Jadi saya akan pergi sokong Reezal kerana beliau adalah calon terbaik untuk Bertam.
“Saya ambil pendekatan dan pendirian itu. Saya sokong calon pada PRN,” katanya lagi.