
Bung sokong penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah
KOTA KINABALU – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Sabah mewujudkan kerajaan perpaduan di negeri itu disokong penuh oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Keputusan itu dipersetujui Bung hasil pertemuan Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi meredakan kemelut politik di negeri itu.
Bung berkata, cadangan untuk mewujudkan kerajaan campuran membabitkan semua parti politik negeri akan dapat mereda dan menstabilkan semula politik Sabah ketika ini.
“Saya berharap agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima saranan daripada Perdana Menteri dengan hati terbuka demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Kemelut politik Sabah bermula selepas percubaan Barisan Nasional Sabah dan Parti Warisan menggulingkan Hajiji Jumaat lalu gagal selepas 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) enggan memberi sokongan terhadap usaha itu.
Gerakan yang dinamakan Langkah Sutera itu bertujuan untuk mengangkat Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai ketua menteri yang baharu, Bung sebagai timbalan dan Datuk Seri Salleh Keruak sebagai Menteri Kewangan Negeri.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut berkata, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat hadir dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, berikutan perlu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.