
Isham umum pindah keahlian UMNO ke bahagian Putrajaya
CYBERJAYA – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil semalam mengumumkan perpindahan keahlian partinya ke Bahagian UMNO Putrajaya.
Isham yang sebelum ini merupakan ahli UMNO cawangan Pekan Sungai Pelong, Bahagian Sungai Buloh, akan menyertai cawangan Bunga Matahari.
Kata Isham, perpindahan itu dilakukan selepas berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya lagi, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden UMNO itu merestui perpindahan tersebut.
Isham yang sebelum ini bertanding di Parlimen Shah Alam pada PRU lepas membuat keputusan untuk berkhidmat sebagai ahli UMNO di Putrajaya yang akan menjadi tempat tinggal tetapnya.
“Sebelum PRU-14 saya tinggal di kuarters kerajaan selama beberapa tahun di Putrajaya. Kedua-dua anak saya pun bersekolah di Putrajaya. Kini anak saya yang kedua masih bersekolah di Presint 8 Putrajaya dan setiap pagi dan petang hari bersekolah saya ke Putrajaya untuk menghantar dan mengambilnya dari rumah ke sekolah dan kembali.
“Saya ada sebidang tanah di Presint 10 Putrajaya yang saya dapat dan beli semasa saya bekerja dalam kerajaan dahulu. Dan dalam masa yang terdekat ini saya dan keluarga akan berpindah semula ke Putrajaya dan bermastautin di sana inshaAllah sehingga hari tua,” kata Isham dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO cawangan Pekan Sungai Pelong dan Bahagian Sungai Buloh kerana telah berjuang bersama-samanya.
“Banyak pengalaman pahit manis dan suka duka yang kita telah lalui bersama. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMNO Selangor kerana telah memberi peluang kepada saya berkhidmat selama ini.
“Saya tidak akan lupakan segala kenangan dan jasa bersama tuan-tuan dan puan-puan dan akan terus membantu dan menyokong perjuangan UMNO di negeri Selangor dan di seluruh Malaysia.
“Terima kasih semua. Doakan perjalanan dan perjuangan saya,” katanya.