Berita Semasa

Ismail Sabri gesa kerajaan perkukuhkan STEM

BERA – Sektor pendidikan negara masih berhadapan cabaran untuk menarik minat para pelajar menguasai bidang Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan SPM 2022 jelas menunjukkan mata pelajaran Matematik merekodkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi.

Katanya, sebanyak 54 peratus daripada keseluruhan pelajar menduduki SPM 2022 memperoleh gred D, E dan G dalam mata pelajaran itu.

“Penekanan perlu diberikan untuk memperkukuhkan STEM dalam sistem pendidikan kita bagi menarik lebih ramai pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sempena perasmian pertandingan Golden Mathematics Challenge 2023 di Maktab Rendah Sains Mara ATM Bera, di sini, semalam.

Program yang bermula pada 28 Julai 2023 sehingga semalam itu diterajui oleh Muafakat MATRA dan pihak BASF Petronas Chemicals.

Perdana Menteri ke 9 itu berkata, beliau menyokong penuh penganjuran program Golden Mathematics Challenge kerana ia dapat memupuk minat para pelajar untuk mendalami Pendidikan STEM.

Katanya, program yang julung kali diadakan di daerah Bera ini menarik penglibatan semua sekolah menengah di Bera dan dari enam negeri termasuk Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, katanya tujuan kerajaan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah untuk membantu pelajar luar bandar mengembangkan bakat serta melahirkan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan matematik.

“Sewaktu saya di Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya telah mengubah dasar kemasukan pelajar bagi membolehkan lebih ramai anak-anak orang miskin tegar dan luar bandar dapat belajar di MRSM,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, sektor Pendidikan di Bera telah melalui perubahan yang ketara dan tidak lagi berada di kedudukan tercorot di negeri Pahang.

“Di Pahang, kita ada 14 PPD dan bagi peringkat Bera, terdapat peningkatan untuk SPM dari segi yang lulus tapi kita masih di ranking yang kesembilan dalam Pahang. Tetapi untuk STPM, Bera menduduki ranking kedua di Pahang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button